Malam yang Setia Mendengarkan Segalanya

Lewat malam begini,
Langit sedang sibuk sekali
Menadah telinganya
Mendengar kata-kata merayu si pemuja rahsia.

Ada hati yang sedang sunyi
Ada jiwa yang resah
Ada rindu yang tak berbalas
Ada doa tulus dari seorang hamba

Lalu malam menginjak penghujung usia
Bulan sudah tertidur tika si pemuisi melagukan kesepiannya
Bintang pula bingung mahu memujuk hati siapa dan bagaimana

Malam yang tenang,
Alangkah bahagianya jika kau tak beransur pulang.


Surat untuk Tuhan

Tuhan,
Andai di dunia ini aku tidak bahagia
Biar saja aku cari bahagia untuk satu dunia lagi di sebelah sana
Satu alam yang tidak akan binasa.

Tapi Tuhan,
Aku ini bukan seorang insan yang mulia
Masa silam ku hitam dan hina.

Jadi Tuhan,
Bantulah manusia kerdil ini
Mencari jalannya kembali
Menjadi manusia yang lebih tabah dan berani.

Tuhanku,
Jadikan aku ini lebih baik
Ajarkan aku ilmu Mu yang luas itu
Jadikan aku seorang pejuang agama Mu, Ya Rabb.


Buku Baru: Titah Bukan Sabda


Kalau korang semua nak tau, buku koleksi cerpen Titah Bukan Sabda ni adalah keluaran BUKU HITAM PRESS yg ke tujuh (007). Ini adalah buku indie yang diterbitkan oleh penerbit indie yang memang digemari ramai ;)

Kulit buku ni baru je diumumkan malam tadi, bila betul2 mahu rilis tu tak pasti lagi. Tak lama lagi akan terbang ke dalam dakapan korang. Cun kan cover dia? Hihi. Kalau korang nak, boleh beli dengan aku nanti. Ada 20 cerpen yang ditulis oleh 20 orang penulis. Dan syukur, nama kerdil aku terselit diantaranya. Cer teka mana satu? >_<

Jujurnya aku tak sabar nak baca cerpen-cerpen dalam ni. Maklomlah ramai penulis favourite aku ada. Aku dah pernah baca karya-karya dorang sebelum ni. Terharu jugaklah boleh berjiran dengan dorang dalam buku ni isk isk isk..

So, kalau korang nak cuba satu kelainan dan tak klise, korang cubalah baca buku ni. Jangan pandang rendah pada buku-buku indie pulak ya? Sekali cuba pasti ketagih. Ouch!

Excited lagi sebenarnya. Maklom la pestaim kakakaka :p



Saat Ajal Mengetuk Pintu Rumahnya

Seorang lelaki yang tubuhnya kian dimamah masa sedang terbaring lemah di ranjangnya. Dia merasakan masanya kian sampai. Keadaan sekeliling yang sunyi seolah-olah cuba memahami dirinya yang berasa berat untuk meninggalkan. Meninggalkan semua kesunyian yang menjadi temannya selama ini.

Bandar kecil itu tidak sesibuk seperti malam yang lain. Pemergian Sam nanti tidak akan memberi makna besar pun pada penduduk di sini. Malahan mereka tidak tahu pun Sam sedang bertarung dengan kesedihannya selama ini. Tetapi entah kenapa, penduduk bandar itu tidak keluar berhibur malam itu menyebabkan sekeliling bandar menjadi sedikit sunyi.

Sam tidak pernah keluar dari rumah kecilnya saat dia mula berhijrah ke sini. Langsung dia tidak mahu untuk bergaul dengan penduduk di sini. Dia cuma keluar untuk mencari makan dan cuba sedaya-upaya untuk tidak berbual dengan sesiapa. Pernah dia berasa bosan pada satu malam itu dan pergi ke sebuah bar untuk minum dan menyaksikan manusia lalu lalang, walhal manusia bukanlah satu hiburan baginya.

Dia memilih itu duduk di satu sudut yang agak tersorok sambil menikmati sebotol bir. Tiba-tiba datang seorang gadis duduk disebelahnya, mahu mengajaknya berbual. Sam merengus pada gadis cantik dan seksi itu, dan berlalu meninggalkannya. Gadis itu berasa pelik dengan Sam yang tidak menghiraukan dadanya yang terdedah itu. Dan itulah kali pertama dan terakhir mereka semua melihat Sam di bar. 

******

Sam selalu meminta pada Tuhan untuk tidak menarik nyawanya sendirian. Tetapi nampaknya doanya tidak akan dikabulkan. Dia akan mati sendiri, di rumah kecilnya ini, di atas katil yang berbunyi tiap kali dia bergerak, ditemani selimut lusuhnya yang koyak-rabak, disaksikan jendela kayu yang tidak pernah dikuak.

Sam tahu bahawa semua orang di sini memanggilnya aneh. Ada juga mengatakan dia gila. Sam tersenyum mengenangkan semua itu. Dia tak kisah. Dia bahagia dengan hidupnya. Lagipun mereka tak tahu tentang teman serumah Sam yang suka mengiau itu tetapi dia sudah mati seminggu lepas. Si comot itu mati dipukul budak-budak nakal di kawasan kejiranannya.

Sam menarik nafas dengan payah. Terasa amat sukar mahu meninggalkan bandar yang tenang ini. Sam menemui kota kecil ini secara tak sengaja tiga tahun lepas. Dia melarikan diri jauh dari kampung halamannya. Meninggalkan ayah yang suka menderanya, meninggalkan ibu yang sering memaki hamun dan menggelarnya pembawa malang. Juga meninggalkan seorang gadis cantik yang secara terang menolak tepi cintanya.

Air mata Sam mengalir juga. Hidup bersendiri bukanlah pilihannya tetapi dia terpaksa. Dia benci dengan manusia kerana dia kecewa dengan sikap mereka. Dia benci pemerintah yang zalim, dia benci hiburan yang tiada makna, dia benci kawan-kawan yang hanya tahu mengambil kesempatan. Dia benci cinta yang cuma merayu cumbu dan seks semata. Sam hanyalah seorang lelaki biasa, yang telah berkali-kali dikecewakan.

********

Sam terkejut bila pintu rumahnya dibuka dengan kasar dari luar. Apakah Malaikat Maut sudah tiba? Terlihat seorang gadis yang ketakutan sedang bersandar pada pintu. Gadis itu terpandang akan dirinya dan tiba-tiba menjerit agak kuat.

"Sam! Keadaan kamu nampak teruk. Maaflah saya terjah masuk. Saya lari dari perompak tadi. Saya fikir rumah ini tempat yang selamat."

"Tak mengapa. Berlindunglah." Sam berkata dengan amat payah.

Gadis itu menghampirinya. Ah ini gadis yang sama tempoh hari. Sam pernah meninggalkannya terpinga-pinga di sebuah bar. Gadis itu memanjat katil dan meletakkan kepala Sam di peha gebunya. Tangannya lembut mengusap rambut kusut Sam.

"Bertahanlah. Kamu tak sendirian sekarang. Nanti aku panggilkan doktor".

Sam menggeleng. Biarlah. Sudah sampai masa tubuh lesunya berpisah dengan nyawa. Dengan dada yang semakin berombak perlahan, Sam menatap mata cantik si gadis. Rupanya saat kematian menjelang, Tuhan hantarkan dia bidadari. Sekurang-kurangnya aku tak mati sendiri, bisik hati Sam.

Perlahan-lahan air mata si gadis mengalir menyaksikan kematian lelaki yang tidak pernah dikenalinya dengan rapat. Pergilah, Sam. Kamu perlukan rehat. Mungkin dunia ini bukan untuk kamu. Mata Sam ditutup rapat dengan jemari runcingnya lalu dihadiahkan ciuman pada dahi yang pucat dan sejuk itu.




Lelaki Yang Kembali Ke Masa Lalu

Kesunyian malam di sebuah kota kecil di pinggir bandar terganggu dengan suara seorang lelaki mabuk yang bernyanyi kecil. Dia duduk merenung nasib di atas bumbung rumahnya sambil ditemani seekor kucing putih yang comot dan sebotol alkohol di tangan. Tiba-tiba saja dia dihampiri seorang lelaki yang berselubung hitam, wajahnya tak jelas kelihatan. Lelaki berselubung hitam itu memanggilnya dari bawah, menyentak pergi lamunan lelaki mabuk itu.

"James, kau kelihatan bersusah hati dan menyesali sesuatu. Apa yang kau kesalkan, kawan?"

"Celaka. Siapa kau? Dan mana kau tahu nama aku?"

"Come on, James. Satu kota ni dah kenal kau. Lagipun aku mudah mengenali orang yang memerlukan bantuan. Aku sudah dilahirkan begitu".

"Kahkahkah. Apa kau boleh bantu?"

James mencebik pada lelaki itu, seolah mahu mencabarnya. Keterampilan lelaki itu tidaklah meyakinkan dan  tak nampak seperti orang yang boleh diharapkan.

"Cakap saja, James. Apa mahu mu?"

"Kalau kau tolong aku, kau dapat apa?"

"Mestilah ada upah. Tapi cakap dulu apa yang aku boleh bantu menyelesaikan kekusutan mu?"

"Semangat betul orang gila ni. Kalau kau hebat, kau boleh balikkan aku ke masa lalu?"

"Masa lalu? Tiada masalah. Kau mahu kembali berapa tahun ke belakang?"

"Ah tak jauh mana. Cuma dua hari sebelum."

"Ada apa yang kau mahu ke masa itu?"

"Aku nak jumpa awek aku. Masa tu dia hidup lagi. Aku nak bagi tahu dia sesuatu. Sesuatu yang penting"

"Oh ini mesti kau dengan dia bergaduh sebelum dia mati lepas tu kau menyesal nak mampus. Hahahaha"

"Diamlah, bodoh! Hah apa upah yang kau mahu?"

"Tak banyak. Umur kau saja".

"Umur aku? Maksud kau?"

"Aku kembalikan kau ke dua hari sebelum. Berapa lama masa yang kau nak untuk bercakap dengan awek kau ni?"

"Tak lama. Bagi setengah jam cukuplah."

"Baiklah, setengah jam. Jadi, kau kena ganti dengan umur kau. Aku cuma mahu ambil setahun saja dari umur kau. Maknanya kau kurang setahunlah".

"Setahun tu apalah sangat. Nak teruskan hidup sehari lagi pun aku dah tak nak. Dah jemu. Ah aku setujulah".

Lelaki berjubah hitam itu terbang ke sisi James. Dia membacakan sesuatu dan mengeluarkan tongkat dari jubahnya lalu ditepuk bahu James dengan tongkat itu. Maka James pun perlahan-lahan menjadi kabur dan hilang. Lelaki itu kemudiannya duduk di atas bumbung dan menyalakan rokok . Cuma rokok daun yang dia bawa semenjak Dunhill naik harga. 

Kucing comot yang mengiau di sebelahnya disuakan rokok tapi dibalas dengan gelengan oleh si kucing. Si comot itu terbatuk kecil. Barangkali ia tidak tahan bau asap rokok. Dia menunggu dengan bosan. Setengah jam berlalu. James kini telah muncul dihadapannya dengan muka berkerut dan pipi yang merah.

"Bagaimana? Gembira berjumpa buah hati?"

"Gembira kepala hotak. Dapat penampar adalah. Siapa suruh kau kembalikan aku masa dia tengah tenat. Dan aku pulak cakap pada dia masa tu, yang aku gembira sangat jumpa dia balik, aku tak sangka akan dapat jumpa dia lagi lepas dia mati. Dia kata aku merepek dan terus tampar aku. Lepas tu dia mati. Membazir je setengah jam aku. Puihh!"

"Alamak, salah targetlah tadi. Aku agak jampi aku ada masalah kot".

"Lantaklah. Kau ni memang dah boleh agak tak berguna langsung. Berambuslah"

Lelaki berjubah hitam pun mahu berlalu. Wajahnya sedih kerana tak berjaya membantu. Sebelum ini pun dia biasa gagal. Kerjanya bukan mudah. Ketika dia mahu turun dari atas bumbung, dia terdengar bunyi sesuatu yang jatuh. Gedebuk!

Rupanya James yang jatuh. Macam-macam hal lah lelaki mabuk ni. Lelaki itu menghampiri James dan mahu membantu tapi dilihatnya James langsung tak bergerak. Dipanggil-panggil, ditampar-tampar pipi James tapi dia tak bangun langsung. Diperiksa dada James. Tak bergerak. Sudah mati rupanya.

James, James. Rupanya umur kau tinggal setahun saja? Tak apalah. Bukankah kau kata sudah bosan dengan hidup kau? Lelaki itu pun berlalu, mahu cari manusia lain yang boleh dibantu. 



Sekeping Nota Kecil Di Dalam Laci

Aku melangkah dengan berhati-hati. Bongkah-bongkah batu besar ku pijak tiap satunya. Sesekali aku terbatuk-batuk bila debu tanpa sengaja memasuki celah kerongkong ku. Sepuluh hari berlalu, baru aku berpeluang kembali ke sini. Ke tempat yang menjadi kebiasaan ku. Tempat yang ku kira syurga di mata ku-dulu.
 
Aku tatap bangunan dua tingkat yang bahagian atasnya telah ranap. Pasu bunga yang menghiasi lamannya sudah pecah, bunganya yang dulu mekar kini telah mati. Aku beranikan diri memasuki tinggalan runtuhan itu. Tiada apa yang mahu ditakutkan. Lagipun nyawa ini liat. Aku sepatutnya sudah mati, sepuluh hari yang lalu tetapi aku terselamat. Takdir.

Dibalik bongkah-bongkah batu, yang sebahagiannya aku tolak ke tepi dengan kudrat yang aku ada, aku ketemukan kenangan lampau. Aku merenung momen-momen dulu yang terpahat lemah di dinding yang berdiri separuh. Ku temukan bingkai gambar, yang sudah pecah. Aku usap, seolah-olah terasa kenangan lampau datang memelukku dari belakang, merintih dengan sayu.

Aku ketepikan kaki bangku yang patah, aku temukan teddy bear kelabu yang comel, yang saiznya muat dalam satu pelukanku. Teddy bear kelabu itu merenungku dengan sayu, tubuhnya terkoyak, kaki dan tangannya patah. Terngiang suara tawa sejurus tubuh si teddy itu ku sentuh.

Mataku menangkap almari hiasan yang tumbang. Bingkai-bingkai gambar yang ku letakkan di atasnya, bersama dengan koleksi kereta mainan yang ku hias, tercampak entah ke mana. Itu semua tak penting. Dengan baki tenaga yang tersisa, dengan hanya sebelah tangan yang boleh di guna, dengan luka-luka yang masih segar di tubuh, aku menolak almari hias itu untuk bangkit. Laci ku buka. Masih ada di situ. Tidak ke mana.

"Sayang,
Maafkan aku. Kalau kita punya hayat yang lain, aku akan mohon untuk lahir sebagai teman mu, tetapi bukan untuk hayat yang ini. Aku perlu pergi pada dia.

- Yang pernah mencintai mu, Alice."

Sebuah nota ringkas yang disemadikan atas sekeping kertas kuning. Yang bertahun dulu ku temukan di atas meja kecil di tepi katil. Lama dulu. Ia tidak ditinggalkan sendiri, ia ditemani sebuah kotak baldu merah berisi cincin, juga sebuah luka yang dalam.

Dan aku kembali ke sisa gempa bumi yang masih ada ini, semata-mata mahu melihat nota kecil itu. Mahu memastikan keadaannya. Dan ku lihat ia baik-baik saja. Ia sepatutnya musnah sepuluh hari yang lalu. Tetapi sama seperti  ku, terselamat. Takdir.



SMS

Kelam-kabut dia memasukan tubuhnya ke perut kereta. Dia mahu cepat tinggalkan kesibukan pejabat ini. Rutin yang sama. Tiap hari. Bosan. Enjin kereta dihidupkan. Aircond kereta dibiarkan terpasang membelai tubuh yang resah bermandi peluh. Tali leher dilonggarkan sedikit.

Masih bersandar di kerusi pemandu. Tiba-tiba telefonnya berbunyi tanda ada sms masuk. Dengan malas dan lambat dia mencapai Iphone 4snya. 


"Betul apa awak cakap semalam. Sebenarnya saya masih belum mahu lupakan dia. Kita sampai sini saja. Maafkan saya".


Perlahan keluhan keluar dari rongga mulutnya. Diletakkan kembali telefonnya itu dan dengan tenang dia mulakan perjalanan. Dia memandu dengan cermat. Walaupun jalan raya sesak petang itu, dia berjaya juga untuk sampai ke apartmentnya, itupun setelah dia menghadapi hon yang bertalu-talu, melanggar semua lampu isyarat, mengasak-asak kereta lain dan mengangkat tangan kepada pemandu lain yang jelas tampak memaki hamunnya walau sepatah pun tak dia dengar.

Tapi ironinya dia masih tersenyum. Mana mungkin lelaki kuat sepertinya menangis seperti anak kecil yang tak mendapatkan gula-gula. Pemuda itu sungguh tenang. Wajah dia seperti tasik yang luas, yang permukaanya tak berombak, yang pabila malam biasan wajah bulan nampak jelas di dada tasik itu. Dia mengambil kembali Iphonenya tadi. Dibukanya kotak inbox. Dan dibacanya lagi. Dihadamnya lagi sebaris ayat itu.

Langsung dia menuju ke dapur. Tanpa berfikir panjang, dicapainya objek itu. Tak teragak, dia menyentuhkan objek itu ke kulit dadanya, ditekan lagi. Tekan lagi sampai dalam. Anehnya dia tak terasa apa. Sakit yang di dalam itu lebih parah. Setakat kulitnya yang berdarah bukan apa-apa. 

Benar tak rasa apa. Objek yang berdiri teguh di dadanya kini cuma ternampak hulunya saja. Sebahagian besar yang lain sudah tertanam, bersama dengan cintanya yang dikambus dalam-dalam. Tubuhnya kian lesu, dia tersandar di depan peti sejuk, dengan tangan kiri memegang dada, tangan kanan erat memeluk telefon. 
  



Masih

Setelah banyak jalan aku lalui
Menempuh semua ribut petir
Melukis tawa dan tangis

Waktu beralih,
Alam dewasa aku sentuh

Rupanya aku masih yang dulu
Masih memeluk teddy bear kecilku
Menangis terperuk di sudut bilik

Terima kasih,
Pada rasa kecewa itu
Aku dipatah-patahkan
Hingga yang tersisa cuma
Sabar yang ku kira ada batasnya

Terima kasih,
Pada sepi yang masih belum mahu
Melepaskan rangkulan eratnya pada ku.

Mahu

Mampirkan pada ku,

Wang berbukit, permata berkilau, pakaian yang cantik,

Akan ku sisih semua ke tepi

Kerana disebalik semua itu,

Aku cuma mahu tersenyum di bawah bulan yang gembira

Dan bahu yang luas untuk menyandar sepi dan hiba.

Ketika cinta pergi

Di hari aku mula mengenal cintanya,
Saat itu juga aku harus bersedia untuk kehilangannya
Cinta itu hadir memukul gendang sepi di dalam hati
Memetik tali temali pilu biar berlagu
Mencintai dia, saat aku perlu rela melepaskannya

Kasihnya
Bagai embun pagi di hujung daun
Masih segar tapi pengakhirnya rebah jua mencium bumi
Ia muncul
Seperti di hujung waktu subuh
yang menunggu datang matahari
Lalu menarik kebahagiaan alam pada malam
Ia kejam.

Aku mengharap kasihnya akan menemani hari tua ku
Tapi ia terbang pergi di pertengahan usia
Aku perlu rela melepaskan dia pergi
Seperti burung yang terbang jauh dari sarang
Lalu terlupa jalan pulang


Patah

Aku punya banyak cita

Yang cita-citaku bertebaran di angkasa

Yang kabur lalu hilang di udara

Di telan angin gundah

Di pukul ribut sampai basah

Aku tak mahu

Selamanya di atas tanah hingga bisa terkambus

Makanya aku terbang tinggi

Namun tinggi di langit aku jadi lemah

Dan sayap ku patah kedua belah

Lalu aku

Rebah

Patah




Sepi

Tiap kali hati sepi itu berdiri

Ia ditarik oleh tangan-tangan illusi

Yang memautnya erat

Agar ia bisa selalu kuat




Berbeza

Kamu tahu

kita mana sama

aku pop corn pasar malam

yang satu plastik seringgit tu

tapi kau pop corn TGV

mahal

aku ni tahap kopi serbuk tu je

kau pulak macam kopi Starbuck

kau tahu

aku ni jenis Nokia 3310 je

kau setaraf Iphone

beza sangat

mana boleh padan




Punah


Tinggalkan aku

dalam angan

yang punah

dalam jiwa berantakan

biar sepi mencium aku

biar bayang memeluk erat


Syukur

Kadang-kadang Allah bagi rezeki dalam keadaan yang kita tak sangka. Kalau direnungkan, nasib kita jauh lebih baik dari orang lain sebenarnya. 

Macam persiapan raya.  Ada orang mungkin tak berpeluang menukar segalanya pada yang baru. Tiada baju baru, kasut baru. Mungkin ada yg beraya tanpa orang tersayang pun. 

Kita mengeluh itu ini tak cukup, sedang dalam masa yang sama, ada orang lain yang inginkan apa yg ada pada kita. Memang kadang-kadang syukur cuma di bibir saja, tetapi bila renung balik apa yg Allah beri, lebih dari yg kita mintak sebenarnya. 

Segala puji pada Allah yg memberi rezeki.

p/s: dah sampai penghujung ni rasa sebak pulak. Sebak dengan penyesalan.....

Masa-masa Akhir

Menghampiri ke saat-saat akhir Ramadhan. Bila direnungkan, apa yang kita dah buat sepanjang bulan ni? Banyak ke amalan yg dah dibuat? Agak-agak Allah terima tak ibadah yang kita dah buat tu?

Bila difikirkan, kalau lah amalan yang ciput yang kita buat tu tak diterima, Allah...bekal apa nak dibawa ke sana nanti. Nak jawap apa depan Tuhan.

Nak buat tu mungkin boleh. Nak istiqamah tu alahai...

10 hari lagi ni. Sempat ke dak ni. Tahun depan belum tentu lagi jumpa lagi ke tak bulan mulia ni. Boleh jadi yg terakhir.


Allahumma innaka `afuwwun, tuhibbul-`afwa, fa`fu `anni.

Ya Allah,ya Tuhanku,sesungguhnya Engkau sentiasa memaafkan salah silap hamba2 Mu,lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku."


Moga Allah ampunkan kita.

KIL

Aku dapat sesuatu dari filem itu.
Makna kehidupan.
Kesunyian mengheret kau ke dunia asing.
Takkan kau tak pernah rasa sunyi.

Tak pernah?
Betul?

Tapi sepi mana pun hidup ni
Takkanlah sampai nak tamatkan nyawa sendiri.
Orang bunuh diri sebab putus asa dengan hidup.
Dia cuba mengambil nyawa sendiri. Atas kawalan sendiri.
Cuba bila kau tahu kau akan mati tak lama lagi
Tapi bila, di mana, bagaimana?
Masa tu mungkin kau mahu menikmati hidup sepuasnya.
Dan kau temukan bahagia akhirnya.
Mati bukan pilihan kau lagi.

Konsepnya sama macam bila sudah atau akan kehilangan sesuatu,
Kau akan mula menghargainya.
Tonton, fahami dan fikirkan mesejnya.

Jujur aku bosan wayang  tayang babak motor, seks, lawak entah apa-apa, hantu tahyul semua.
Berikan yang segar. Lain dari biasa.



Berdiri sendiri

Semalam aku tak berhenti tersenyum.
Senyumnya mekar sampai hari  ni.
Apa yang aku impikan selama ni tercapai.
Aku tak tahu nak raikan berita gembira tu bagaimana.
Hanya tangisan sepi menceritakan segalanya.

Cuma pada seorang teman yg memhami perjuangan ini aku berkongsi
Pada yang lain aku sedar tak akan pernah mengerti
Suatu hari nanti aku tunjuk bukti
Aku boleh capai apa yang ku impi

Muhasabah diri paling dalam.
Tuhan tu sangat Maha Adil.
Aku yang sering kecewa kerana biasa gagal dalam tiap percubaan
Tapi adakalanya aku berjaya dalam sekali cuba.
Entahlah.
Kalau difikirkan balik, 
kita kurang di sini, kita lebih di sana.
Kita mahu apa yang tiada, orang mahu apa yang kita punya.

Dengan apa yang aku ada sekarang, kau kira aku tidak kecewa?
Kau kira aku tidak sedih.
Bila mana aku masih tak mampu berbakti pada keluarga.
Kalau ada pun sedikit cuma.

Pernah ku tanya mana tempat aku di dunia
Punya ruangkah untuk aku bercerita
Ah aku pinta secebis ruang di dunia nyata
Sedang aku lebih bersenang dalam dunia aku cipta.

Pesanku;
Sekalipun duka menyesakkankan dada mu
Sekalipun air mata menemani sebelum tidur
Selagi bernyawa teruskanlah perjuangan ini
Perjuangan merebut takhta dunia dan di sana nanti

Jujur aku rasa,
Kalau punya teman sokongan kita lebih selesa
Andai cuma kita seorang teruskan jangan berputus asa.




Secawan magis

Ketagihan tu sekejap sekejap datang.
Susah nak lupa.
Mahu tak kira masa.
Teringin tak dapat dihalang.
Bila tak dapat gelisah.
Dah dapat terasa nikmat.
Indah macam syurga dunia.
Secawan nescafe panas.
Takjubnya tak terungkap dengan kata.
Ada magis di dalamnya.
Aku dan secawan nescafe.
Ikatan kuat tak terpisahkan.
Biarkan aku bercinta dengannya sepanjang hayat.

Inspirasi

Inspirasi.
Di mana mahu dicari?
Sudah tentu tak boleh dibeli.

Inspirasi.
Ada di mana-mana.
Paling dekat boleh dilihat.
Tersembunyi dalam diri.

Suara kecil itu

Suara kecil yang menyokong
Mengiakan perjuanganmu
Sedikit sahaja
Seorang mungkin
Tapi itu dah terlalu cukup hebat
Untuk membuahkan senyum sepanjang hayat
Kata-kata kecil
Nampak remeh
Tapi besar maknanya pada orang lain

Suara

Kalau blogspot tak wujud,
Mana lagi mahu saya mencurah rasa.
Di luar saya tak mampu bersuara.

Bersandar

Kalaulah ada bahu sekarang ini
Untuk bersandar dan melepaskan lelah,
Melepaskan segala kepenatan yang terkumpul
Membuang tangisan yang dah lama disembunyi,
Menceritakan semua pedih yang dibawa,
Semua luka yang ditoreh,
Kalaulah ada ingin aku menumpang
Sekejap sahaja.


Bukan sesiapa

Aku bukan sesiapa yang hadirku ditunggu.
Aku bukan sesiapa yang mereka perlu sebut nama ku.
Aku bukan sesiapa untuk diajak bercanda.
Aku bukan sesiapa yang perlu dikenali.
Aku bukan sesiapa untuk dikagumi.
Aku bukan sesiapa untuk kamu buang masa baca tulisan ini..


Mengalah

Kadang kala kena mengalah jugak.
Bukan nak angkat tangan tanda kalah.
Mungkin diri belum sedia.
Perlahan undur diri dari situasi itu.
Senyap-senyap bawa diri.
Ambil masa bina apa yang dimahu.
Biar lambat.
Biar masa buktikan.
Minda pun tahu penat.
Minda pun mahu berehat.




Jatuh

Tak kisahlah berapa kali kau dah jatuh. Dalam mana pun jurang dah kau humban diri kau. Mesti boleh bangkit. Tiap kali kau mahu kau akan mampu buat. Sampai suatu masa kau mengalah, Tuhan pun tak boleh nak buat apa.




Berubah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Kata lelaki itu,
"Seeloknya pakailah stokin. Tumit tu aurat".
Perlahan diheret kaki paling dalam.

Sedang membelek tudung di pasar malam,
"Itu bidang 60. Yang biasa yang ini".
Terkedu. Tak sesuaikah?

Bermula dari itu. Ubah.
Tak perlu sebab sebenarnya.

Raksasa lawan atromen, dah baca sila la komen ^___^

Cinta Luar Biasa


Suatu hari teman rapatku mampir ke sisi. Sesuatu dibisikkan rapat ke pendengaran ku. Penuh berhati – hati ia menyulam hasratnya. Aku mengangguk. Lalu dia kepakkan sayap luas-luas depanku. Pergilah kejar impian mu. Kalau rindu bertandang nanti hinggaplah di jendela rumah ku. Sejak hari itu, tiap malam aku tunggu. Kalau – kalau kau terbang atas bumbung rumah ku. Kemudian aku tersedar. Manakan boleh dilihat sayap mu dalam gelita?

Dulu sebelum terbang, sayap mu putih bersih. Kini dari jauh aku lihat sayap mu kotor dan kusam. Apa dunia di luar sana terlalu kejam buat mu? Aku mahu sekali terbang dengan mu. Tapi sayang aku tidak punya sayap. Yang asli mahupun artifisial. Aku tiada. Kau ajak aku terbang sama. Ke mana aku tanya. Kau kata ke dunia kita. Maaf jalan ku pilih tak sama. Arahnya berbeza. Dan kau terbang pergi. Suatu hari aku lihat. Kau terbang bebas dengan yang lain. Baru aku sedar. Tempat aku cuma di bawah sahaja. Kerana aku tak punya sayap. Kerana aku tak mampu terbang. Kerana aku tiada sesiapa. Kerana kau tiada lagi bersama. Bertahun selepas itu. Kau hinggap di jendela ku lagi.

'Sayap ku patah'
'Mana teman mu'
'Mereka membuang aku'.

Sejauh itu kau terbang, kau masih mahu pulang. Sekalipun sayapmu cedera, sekalipun tercela, aku tetap terima. Dalam lemah kau bersuara. Akulah yang selama ini kau cinta. Hilang akalkah dia? Tidak. Keras dan tegas sungguh bicaranya.

'Wahai sayang ku, tinggi mana pun kasih kita tiadalah mampu mahu berpacaran sama'. Kau kembangkan sayap lalu kau sembunyi muka.
'Apa yang menghalang kita dari bersama. Kalau kau tak mampu terbang, kini aku juga sayap sudahlah tiada'.

Alasan ku mudah. Kerana kita tak sama. Kerana kau bukan manusia. Sampai kiamat pun tiada yang merestui kita bersama. Dengan kecewa kau berlalu. Kembangkan sayap luka mu dan meredah angin dengan payah. Kau makhluk separuh manusia. Hidupmu di bumi tidak diterima. Lepas ini tidak akan ku tunggu. Kalau-kalau kau terbang atas bumbung rumah ku. Biarlah. Biar kisah kita jadi sejarah.

***************************

Di penghujung usia, saat tubuhku sudah lemah. Bila mana kaki mahu melangkah pun terasa payah, saat itu sekilas pandang aku terlihat sayap di jendela. Sayap yang serupa dengan dia yang pernah ku puja. Mungkinkah itu dia atau khayalan semata? Dengan bayangannya menari- nari di lensa mata, dengan sayup-sayup terdengar sayap ditutup-buka, sambil tenang nafas terakhir ku hela. Gelap.



Raksasa lawan atromen, dah baca sila la komen ^___^

Minat yang sama



Kadang- kadang sebab minat yang sama kita boleh bersatu.
Minat yang sama buat kita kongsi rasa yang serupa.
Walaupun kita berdiri atas tanah yang berbeza, sebab minat kita sama, satu hubungan baru kita mampu bina. 

Kita tak saling mengenali, kita tak pernah berjumpa apatah lagi berbual bertemu muka.
Tapi kecintaan kita pada itu, kita boleh saling bertukar cerita.

Dan kerana minat yang sama itu, membawa langkah mu ke sini.... 


Raksasa lawan atromen, dah baca sila la komen ^___^

Curang: Selain Aku


Kelam sungguh langit malam itu. Bulan seolah menyembunyikan diri seakan merajuk sama si awan. Angin bertiup kasar. Memukul titis-titis air yang dimuntahkan awan. Kala itu, manusia sedang dilanda mimpi indah. Kepenatan di siang hari ditebus sebelum kembali menyerabutkan kepala keesokkan harinya. Di sebuah rumah di hujung kampung, dingin malam itu tak mampu menyembuh rawan di hati penghuninya. Seorang wanita duduk memeluk lutut dengan kepala tertunduk. Badannya terketar-ketar bersama esak tangis. Mujur hujan di luar sangat lebat. Maka tangisannya tenggelam dengan keriuhan rintik air yang dihempas ke tanah.

Dengan perlahan wanita itu mengangkat mukanya. Padangan mata hibanya terpanah kepada seseorang disebelah. Terbaring kaku penuh hina. Dengan pisau masih terpaku di kepala. Darah mengalir dari kepala ke mata langsung menuruni ke dagu. Masih mengalir keluar dengan rakus. Mata yang terbuka petanda si mati menanggung azab ketika nyawa dipaksa keluar dari tubuh oleh Izrail.

Dia tak berniat mahu buat begitu sungguhpun dendam dalam hatinya sudah lebih tinggi dari menara KLCC.  Entah dari mana datang tekadnya mahu membenamkan senjata yang digunakan ketika memotong daging tadi ke kapala lelaki itu, suaminya. Selama ini dia bersabar. Dicaci maki, disepak terajang dia tanggung tanpa rela. Sikap lelaki itu yang panas baran masih mampu ditahan. Tapi kecurangan lelaki itu sebagai balasan kesetiannya tak lagi mampu ditolak ansur. Walaupun sebagai wanita dia lemah, tapi dia tak bodoh. Dia tak mahu sampai ke akhir hayatnya dihina lelaki celaka itu. Suami yang dikahwini tanpa rela kerana dipaksa orang tua.

Dia sedang memotong daging ketika suaminya baru pulang. Mahu menyiapkan makan malam. Daging dipotong kasar sambil membayangkan muka lelaki keparat itu. Baru sahaja dia terserempak dengan suaminya yang bercumbu penuh nafsu dengan seorang gadis di bawah pokok besar tepi sungai yang dia lalu ketika balik dari kedai tadi. Sudahlah balik lewat malam, baliknya memekik-mekik bukan memberi salam. Terus terang dia bertanya apa yang dilihat sepasang matanya. Lelaki itu mendengus dan memaki hamun. Lagi dia lawan lagi dia dikasari. Setelah hinggap penampar di pipi, dia tak tunggu lagi. Pisau ditangan terus diangkat setinggi kepala dan dibenam hingga cuma nampak pemegangnya sahaja. Berapa dalam dia tak anggar.

Penyesalan langsung tak menyinggahi hatinya tetapi dia tak dapat lari dari memikirkan nasib malang yang menimpa. Di usia muda dia menjadi pembunuh. Membunuh suaminya sendiri pula. Pasti dia dihina masyarakat dan diadili manusia yang ingin menjadi Tuhan. Malam kian pekat. Entah apa nasib yang menantinya esok hari. Dia berkira untuk lari jauh dari sini. Pastinya ini bukan penamat. Dendamya baru bermula.

Kuasa

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dunia jadi medan pertempuran pihak yang tamakkan kuasa. Janji manis adalah senjatanya. Mangsanya sudah tentu rakyat jelata.


Raksasa lawan atromen, dah baca sila la komen ^___^

Dendam dalam diam

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Aku buat.
Kau kritik.
Aku diam.
Tak mampu melawan.
Aku tak bodoh.
Untuk kau tunjal kepala.
Aku tak pekak.
Jangan kau jerit.
Kau silap anggap.
Aku tak baik.
Kau marah.
Aku senyum.
Belakang kau aku asah pisau.
Tunggu masa.
Kau akan binasa.
Aku tak gila.
Kau yang celaka.
Tak rela.
Lihat kau ketawa.
Manusia macam kau.
Tempatnya bukan atas dunia.
Mari kau.
Aku hantar ke neraka.



Separuh Tuhan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Keliling aku, ramai manusia separuh Tuhan.
Mengadili orang seolah dia Tuhan.
Mudah menjatuhkan hukuman serupa Tuhan.
Sedang Tuhan pun Maha Pengampun tapi golongan ini terus menyalahkan.
Dia saja yang suci. Dia saja yang betul.
Salah orang dicemuh.
Salah diri sembunyi.
Dialah Tuhan.
Tuhan di atas takhta nafsu.
Tuhan di atas takhta kuasa.
Dia dah tentu masuk syurga.
Dia mahu campak kita ke neraka.
Padahal dia juga akan binasa.


p/s: Aku tengah baca buku Untuk Separuh Tuhan: Koleksi Cerpen. Baru aku sedar adanya separuh Tuhan dalam diri manusia celaka.Moga tak ada dalam diri kamu dan aku.







Teman Baru

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Selamat kembali untuk diriku. Aku kembali selepas lama menghilang. Sebelum ni aku ada cakap nak kembali berbicara dengan kamu semua seperti biasa. Tapi apa kan daya. Mesin penghubung aku dengan kamu tergendala. Ah bukan mesin masa, mesin taip.

Aku masih ada di alam maya. Selalu buang masa di twitter. Di situ tempat aku mencurah rasa dan idea. Tapi hari ni aku dapat teman baru. Ya dengan teman baru ku inilah aku dapat menjalin hubungan kita. Moga dapat bersama macam dulu. Aku rindukan kamu. Aku rindu untuk berbual mesra macam dulu.

Sambutlah aku...

Raksasa lawan atromen, dah baca sila la komen ^___^

Page 1 of 365

Selamat menyambut tahun baru. Korang sambut ke? Aku tak pernah pulak sambut. Bagi aku bertukar tahun tu biasa je. Yela masa kan terus berjalan. Yang aku kisahkan, umur dah bertambah....


Azam? Misi tahun ni adalah misi bersama kawan- kawan. Misi memburu suami. Kalau dapat seorang pun jadi la. Eh tak la tipu je semua tu yohohohoho *gelak gaya Brooke San*

So, tahun dah bertukar, umur pun bertambah, ajal pun makin dekat. Semoga Allah rancangkan yang baik - baik untuk kita tahun ni.

posted from Bloggeroid