Sekeping Nota Kecil Di Dalam Laci

Aku melangkah dengan berhati-hati. Bongkah-bongkah batu besar ku pijak tiap satunya. Sesekali aku terbatuk-batuk bila debu tanpa sengaja memasuki celah kerongkong ku. Sepuluh hari berlalu, baru aku berpeluang kembali ke sini. Ke tempat yang menjadi kebiasaan ku. Tempat yang ku kira syurga di mata ku-dulu.
 
Aku tatap bangunan dua tingkat yang bahagian atasnya telah ranap. Pasu bunga yang menghiasi lamannya sudah pecah, bunganya yang dulu mekar kini telah mati. Aku beranikan diri memasuki tinggalan runtuhan itu. Tiada apa yang mahu ditakutkan. Lagipun nyawa ini liat. Aku sepatutnya sudah mati, sepuluh hari yang lalu tetapi aku terselamat. Takdir.

Dibalik bongkah-bongkah batu, yang sebahagiannya aku tolak ke tepi dengan kudrat yang aku ada, aku ketemukan kenangan lampau. Aku merenung momen-momen dulu yang terpahat lemah di dinding yang berdiri separuh. Ku temukan bingkai gambar, yang sudah pecah. Aku usap, seolah-olah terasa kenangan lampau datang memelukku dari belakang, merintih dengan sayu.

Aku ketepikan kaki bangku yang patah, aku temukan teddy bear kelabu yang comel, yang saiznya muat dalam satu pelukanku. Teddy bear kelabu itu merenungku dengan sayu, tubuhnya terkoyak, kaki dan tangannya patah. Terngiang suara tawa sejurus tubuh si teddy itu ku sentuh.

Mataku menangkap almari hiasan yang tumbang. Bingkai-bingkai gambar yang ku letakkan di atasnya, bersama dengan koleksi kereta mainan yang ku hias, tercampak entah ke mana. Itu semua tak penting. Dengan baki tenaga yang tersisa, dengan hanya sebelah tangan yang boleh di guna, dengan luka-luka yang masih segar di tubuh, aku menolak almari hias itu untuk bangkit. Laci ku buka. Masih ada di situ. Tidak ke mana.

"Sayang,
Maafkan aku. Kalau kita punya hayat yang lain, aku akan mohon untuk lahir sebagai teman mu, tetapi bukan untuk hayat yang ini. Aku perlu pergi pada dia.

- Yang pernah mencintai mu, Alice."

Sebuah nota ringkas yang disemadikan atas sekeping kertas kuning. Yang bertahun dulu ku temukan di atas meja kecil di tepi katil. Lama dulu. Ia tidak ditinggalkan sendiri, ia ditemani sebuah kotak baldu merah berisi cincin, juga sebuah luka yang dalam.

Dan aku kembali ke sisa gempa bumi yang masih ada ini, semata-mata mahu melihat nota kecil itu. Mahu memastikan keadaannya. Dan ku lihat ia baik-baik saja. Ia sepatutnya musnah sepuluh hari yang lalu. Tetapi sama seperti  ku, terselamat. Takdir.



0 rajin komen: