Curang: Selain Aku


Kelam sungguh langit malam itu. Bulan seolah menyembunyikan diri seakan merajuk sama si awan. Angin bertiup kasar. Memukul titis-titis air yang dimuntahkan awan. Kala itu, manusia sedang dilanda mimpi indah. Kepenatan di siang hari ditebus sebelum kembali menyerabutkan kepala keesokkan harinya. Di sebuah rumah di hujung kampung, dingin malam itu tak mampu menyembuh rawan di hati penghuninya. Seorang wanita duduk memeluk lutut dengan kepala tertunduk. Badannya terketar-ketar bersama esak tangis. Mujur hujan di luar sangat lebat. Maka tangisannya tenggelam dengan keriuhan rintik air yang dihempas ke tanah.

Dengan perlahan wanita itu mengangkat mukanya. Padangan mata hibanya terpanah kepada seseorang disebelah. Terbaring kaku penuh hina. Dengan pisau masih terpaku di kepala. Darah mengalir dari kepala ke mata langsung menuruni ke dagu. Masih mengalir keluar dengan rakus. Mata yang terbuka petanda si mati menanggung azab ketika nyawa dipaksa keluar dari tubuh oleh Izrail.

Dia tak berniat mahu buat begitu sungguhpun dendam dalam hatinya sudah lebih tinggi dari menara KLCC.  Entah dari mana datang tekadnya mahu membenamkan senjata yang digunakan ketika memotong daging tadi ke kapala lelaki itu, suaminya. Selama ini dia bersabar. Dicaci maki, disepak terajang dia tanggung tanpa rela. Sikap lelaki itu yang panas baran masih mampu ditahan. Tapi kecurangan lelaki itu sebagai balasan kesetiannya tak lagi mampu ditolak ansur. Walaupun sebagai wanita dia lemah, tapi dia tak bodoh. Dia tak mahu sampai ke akhir hayatnya dihina lelaki celaka itu. Suami yang dikahwini tanpa rela kerana dipaksa orang tua.

Dia sedang memotong daging ketika suaminya baru pulang. Mahu menyiapkan makan malam. Daging dipotong kasar sambil membayangkan muka lelaki keparat itu. Baru sahaja dia terserempak dengan suaminya yang bercumbu penuh nafsu dengan seorang gadis di bawah pokok besar tepi sungai yang dia lalu ketika balik dari kedai tadi. Sudahlah balik lewat malam, baliknya memekik-mekik bukan memberi salam. Terus terang dia bertanya apa yang dilihat sepasang matanya. Lelaki itu mendengus dan memaki hamun. Lagi dia lawan lagi dia dikasari. Setelah hinggap penampar di pipi, dia tak tunggu lagi. Pisau ditangan terus diangkat setinggi kepala dan dibenam hingga cuma nampak pemegangnya sahaja. Berapa dalam dia tak anggar.

Penyesalan langsung tak menyinggahi hatinya tetapi dia tak dapat lari dari memikirkan nasib malang yang menimpa. Di usia muda dia menjadi pembunuh. Membunuh suaminya sendiri pula. Pasti dia dihina masyarakat dan diadili manusia yang ingin menjadi Tuhan. Malam kian pekat. Entah apa nasib yang menantinya esok hari. Dia berkira untuk lari jauh dari sini. Pastinya ini bukan penamat. Dendamya baru bermula.

1 rajin komen:

Zaf98 said...[Reply to comment]

wheeew! akak! psikonya pempuan tu! takut teng0k! ><
tapi...salah suami dia gak, sape suruh gi curang. kan dah kena bunuh~
hoh0o0!~ saya suka cerpen akak! buat2 lagi tau, kisah2 psiko camni~ i likeee~ ;) (Y)
lamaaa dah tak jenguk bl0g akak. :D