Seorang lelaki yang tubuhnya kian dimamah masa sedang terbaring lemah di ranjangnya. Dia merasakan masanya kian sampai. Keadaan sekeliling yang sunyi seolah-olah cuba memahami dirinya yang berasa berat untuk meninggalkan. Meninggalkan semua kesunyian yang menjadi temannya selama ini.
Bandar kecil itu tidak sesibuk seperti malam yang lain. Pemergian Sam nanti tidak akan memberi makna besar pun pada penduduk di sini. Malahan mereka tidak tahu pun Sam sedang bertarung dengan kesedihannya selama ini. Tetapi entah kenapa, penduduk bandar itu tidak keluar berhibur malam itu menyebabkan sekeliling bandar menjadi sedikit sunyi.
Sam tidak pernah keluar dari rumah kecilnya saat dia mula berhijrah ke sini. Langsung dia tidak mahu untuk bergaul dengan penduduk di sini. Dia cuma keluar untuk mencari makan dan cuba sedaya-upaya untuk tidak berbual dengan sesiapa. Pernah dia berasa bosan pada satu malam itu dan pergi ke sebuah bar untuk minum dan menyaksikan manusia lalu lalang, walhal manusia bukanlah satu hiburan baginya.
Dia memilih itu duduk di satu sudut yang agak tersorok sambil menikmati sebotol bir. Tiba-tiba datang seorang gadis duduk disebelahnya, mahu mengajaknya berbual. Sam merengus pada gadis cantik dan seksi itu, dan berlalu meninggalkannya. Gadis itu berasa pelik dengan Sam yang tidak menghiraukan dadanya yang terdedah itu. Dan itulah kali pertama dan terakhir mereka semua melihat Sam di bar.
******
Sam selalu meminta pada Tuhan untuk tidak menarik nyawanya sendirian. Tetapi nampaknya doanya tidak akan dikabulkan. Dia akan mati sendiri, di rumah kecilnya ini, di atas katil yang berbunyi tiap kali dia bergerak, ditemani selimut lusuhnya yang koyak-rabak, disaksikan jendela kayu yang tidak pernah dikuak.
Sam tahu bahawa semua orang di sini memanggilnya aneh. Ada juga mengatakan dia gila. Sam tersenyum mengenangkan semua itu. Dia tak kisah. Dia bahagia dengan hidupnya. Lagipun mereka tak tahu tentang teman serumah Sam yang suka mengiau itu tetapi dia sudah mati seminggu lepas. Si comot itu mati dipukul budak-budak nakal di kawasan kejiranannya.
Sam menarik nafas dengan payah. Terasa amat sukar mahu meninggalkan bandar yang tenang ini. Sam menemui kota kecil ini secara tak sengaja tiga tahun lepas. Dia melarikan diri jauh dari kampung halamannya. Meninggalkan ayah yang suka menderanya, meninggalkan ibu yang sering memaki hamun dan menggelarnya pembawa malang. Juga meninggalkan seorang gadis cantik yang secara terang menolak tepi cintanya.
Air mata Sam mengalir juga. Hidup bersendiri bukanlah pilihannya tetapi dia terpaksa. Dia benci dengan manusia kerana dia kecewa dengan sikap mereka. Dia benci pemerintah yang zalim, dia benci hiburan yang tiada makna, dia benci kawan-kawan yang hanya tahu mengambil kesempatan. Dia benci cinta yang cuma merayu cumbu dan seks semata. Sam hanyalah seorang lelaki biasa, yang telah berkali-kali dikecewakan.
********
Sam terkejut bila pintu rumahnya dibuka dengan kasar dari luar. Apakah Malaikat Maut sudah tiba? Terlihat seorang gadis yang ketakutan sedang bersandar pada pintu. Gadis itu terpandang akan dirinya dan tiba-tiba menjerit agak kuat.
"Sam! Keadaan kamu nampak teruk. Maaflah saya terjah masuk. Saya lari dari perompak tadi. Saya fikir rumah ini tempat yang selamat."
"Tak mengapa. Berlindunglah." Sam berkata dengan amat payah.
Gadis itu menghampirinya. Ah ini gadis yang sama tempoh hari. Sam pernah meninggalkannya terpinga-pinga di sebuah bar. Gadis itu memanjat katil dan meletakkan kepala Sam di peha gebunya. Tangannya lembut mengusap rambut kusut Sam.
"Bertahanlah. Kamu tak sendirian sekarang. Nanti aku panggilkan doktor".
Sam menggeleng. Biarlah. Sudah sampai masa tubuh lesunya berpisah dengan nyawa. Dengan dada yang semakin berombak perlahan, Sam menatap mata cantik si gadis. Rupanya saat kematian menjelang, Tuhan hantarkan dia bidadari. Sekurang-kurangnya aku tak mati sendiri, bisik hati Sam.
Perlahan-lahan air mata si gadis mengalir menyaksikan kematian lelaki yang tidak pernah dikenalinya dengan rapat. Pergilah, Sam. Kamu perlukan rehat. Mungkin dunia ini bukan untuk kamu. Mata Sam ditutup rapat dengan jemari runcingnya lalu dihadiahkan ciuman pada dahi yang pucat dan sejuk itu.
1 rajin komen:
Sedih! Tapi aku suka tulisan ini. :D
Post a Comment