Kesunyian malam di sebuah kota kecil di pinggir bandar terganggu dengan suara seorang lelaki mabuk yang bernyanyi kecil. Dia duduk merenung nasib di atas bumbung rumahnya sambil ditemani seekor kucing putih yang comot dan sebotol alkohol di tangan. Tiba-tiba saja dia dihampiri seorang lelaki yang berselubung hitam, wajahnya tak jelas kelihatan. Lelaki berselubung hitam itu memanggilnya dari bawah, menyentak pergi lamunan lelaki mabuk itu.
"James, kau kelihatan bersusah hati dan menyesali sesuatu. Apa yang kau kesalkan, kawan?"
"Celaka. Siapa kau? Dan mana kau tahu nama aku?"
"Come on, James. Satu kota ni dah kenal kau. Lagipun aku mudah mengenali orang yang memerlukan bantuan. Aku sudah dilahirkan begitu".
"Kahkahkah. Apa kau boleh bantu?"
James mencebik pada lelaki itu, seolah mahu mencabarnya. Keterampilan lelaki itu tidaklah meyakinkan dan tak nampak seperti orang yang boleh diharapkan.
"Cakap saja, James. Apa mahu mu?"
"Kalau kau tolong aku, kau dapat apa?"
"Mestilah ada upah. Tapi cakap dulu apa yang aku boleh bantu menyelesaikan kekusutan mu?"
"Semangat betul orang gila ni. Kalau kau hebat, kau boleh balikkan aku ke masa lalu?"
"Masa lalu? Tiada masalah. Kau mahu kembali berapa tahun ke belakang?"
"Ah tak jauh mana. Cuma dua hari sebelum."
"Ada apa yang kau mahu ke masa itu?"
"Aku nak jumpa awek aku. Masa tu dia hidup lagi. Aku nak bagi tahu dia sesuatu. Sesuatu yang penting"
"Oh ini mesti kau dengan dia bergaduh sebelum dia mati lepas tu kau menyesal nak mampus. Hahahaha"
"Diamlah, bodoh! Hah apa upah yang kau mahu?"
"Tak banyak. Umur kau saja".
"Umur aku? Maksud kau?"
"Aku kembalikan kau ke dua hari sebelum. Berapa lama masa yang kau nak untuk bercakap dengan awek kau ni?"
"Tak lama. Bagi setengah jam cukuplah."
"Baiklah, setengah jam. Jadi, kau kena ganti dengan umur kau. Aku cuma mahu ambil setahun saja dari umur kau. Maknanya kau kurang setahunlah".
"Setahun tu apalah sangat. Nak teruskan hidup sehari lagi pun aku dah tak nak. Dah jemu. Ah aku setujulah".
Lelaki berjubah hitam itu terbang ke sisi James. Dia membacakan sesuatu dan mengeluarkan tongkat dari jubahnya lalu ditepuk bahu James dengan tongkat itu. Maka James pun perlahan-lahan menjadi kabur dan hilang. Lelaki itu kemudiannya duduk di atas bumbung dan menyalakan rokok . Cuma rokok daun yang dia bawa semenjak Dunhill naik harga.
Kucing comot yang mengiau di sebelahnya disuakan rokok tapi dibalas dengan gelengan oleh si kucing. Si comot itu terbatuk kecil. Barangkali ia tidak tahan bau asap rokok. Dia menunggu dengan bosan. Setengah jam berlalu. James kini telah muncul dihadapannya dengan muka berkerut dan pipi yang merah.
"Bagaimana? Gembira berjumpa buah hati?"
"Gembira kepala hotak. Dapat penampar adalah. Siapa suruh kau kembalikan aku masa dia tengah tenat. Dan aku pulak cakap pada dia masa tu, yang aku gembira sangat jumpa dia balik, aku tak sangka akan dapat jumpa dia lagi lepas dia mati. Dia kata aku merepek dan terus tampar aku. Lepas tu dia mati. Membazir je setengah jam aku. Puihh!"
"Alamak, salah targetlah tadi. Aku agak jampi aku ada masalah kot".
"Lantaklah. Kau ni memang dah boleh agak tak berguna langsung. Berambuslah"
Lelaki berjubah hitam pun mahu berlalu. Wajahnya sedih kerana tak berjaya membantu. Sebelum ini pun dia biasa gagal. Kerjanya bukan mudah. Ketika dia mahu turun dari atas bumbung, dia terdengar bunyi sesuatu yang jatuh. Gedebuk!
Rupanya James yang jatuh. Macam-macam hal lah lelaki mabuk ni. Lelaki itu menghampiri James dan mahu membantu tapi dilihatnya James langsung tak bergerak. Dipanggil-panggil, ditampar-tampar pipi James tapi dia tak bangun langsung. Diperiksa dada James. Tak bergerak. Sudah mati rupanya.
James, James. Rupanya umur kau tinggal setahun saja? Tak apalah. Bukankah kau kata sudah bosan dengan hidup kau? Lelaki itu pun berlalu, mahu cari manusia lain yang boleh dibantu.
2 rajin komen:
Aku suka ini. :)
past is past..kita yg hidup ni kena teruskan hidup..tak boleh putus asa selagi ajal belum menjemput..nice entry sis :)
Post a Comment