Lelaki Yang Kembali Ke Masa Lalu

Kesunyian malam di sebuah kota kecil di pinggir bandar terganggu dengan suara seorang lelaki mabuk yang bernyanyi kecil. Dia duduk merenung nasib di atas bumbung rumahnya sambil ditemani seekor kucing putih yang comot dan sebotol alkohol di tangan. Tiba-tiba saja dia dihampiri seorang lelaki yang berselubung hitam, wajahnya tak jelas kelihatan. Lelaki berselubung hitam itu memanggilnya dari bawah, menyentak pergi lamunan lelaki mabuk itu.

"James, kau kelihatan bersusah hati dan menyesali sesuatu. Apa yang kau kesalkan, kawan?"

"Celaka. Siapa kau? Dan mana kau tahu nama aku?"

"Come on, James. Satu kota ni dah kenal kau. Lagipun aku mudah mengenali orang yang memerlukan bantuan. Aku sudah dilahirkan begitu".

"Kahkahkah. Apa kau boleh bantu?"

James mencebik pada lelaki itu, seolah mahu mencabarnya. Keterampilan lelaki itu tidaklah meyakinkan dan  tak nampak seperti orang yang boleh diharapkan.

"Cakap saja, James. Apa mahu mu?"

"Kalau kau tolong aku, kau dapat apa?"

"Mestilah ada upah. Tapi cakap dulu apa yang aku boleh bantu menyelesaikan kekusutan mu?"

"Semangat betul orang gila ni. Kalau kau hebat, kau boleh balikkan aku ke masa lalu?"

"Masa lalu? Tiada masalah. Kau mahu kembali berapa tahun ke belakang?"

"Ah tak jauh mana. Cuma dua hari sebelum."

"Ada apa yang kau mahu ke masa itu?"

"Aku nak jumpa awek aku. Masa tu dia hidup lagi. Aku nak bagi tahu dia sesuatu. Sesuatu yang penting"

"Oh ini mesti kau dengan dia bergaduh sebelum dia mati lepas tu kau menyesal nak mampus. Hahahaha"

"Diamlah, bodoh! Hah apa upah yang kau mahu?"

"Tak banyak. Umur kau saja".

"Umur aku? Maksud kau?"

"Aku kembalikan kau ke dua hari sebelum. Berapa lama masa yang kau nak untuk bercakap dengan awek kau ni?"

"Tak lama. Bagi setengah jam cukuplah."

"Baiklah, setengah jam. Jadi, kau kena ganti dengan umur kau. Aku cuma mahu ambil setahun saja dari umur kau. Maknanya kau kurang setahunlah".

"Setahun tu apalah sangat. Nak teruskan hidup sehari lagi pun aku dah tak nak. Dah jemu. Ah aku setujulah".

Lelaki berjubah hitam itu terbang ke sisi James. Dia membacakan sesuatu dan mengeluarkan tongkat dari jubahnya lalu ditepuk bahu James dengan tongkat itu. Maka James pun perlahan-lahan menjadi kabur dan hilang. Lelaki itu kemudiannya duduk di atas bumbung dan menyalakan rokok . Cuma rokok daun yang dia bawa semenjak Dunhill naik harga. 

Kucing comot yang mengiau di sebelahnya disuakan rokok tapi dibalas dengan gelengan oleh si kucing. Si comot itu terbatuk kecil. Barangkali ia tidak tahan bau asap rokok. Dia menunggu dengan bosan. Setengah jam berlalu. James kini telah muncul dihadapannya dengan muka berkerut dan pipi yang merah.

"Bagaimana? Gembira berjumpa buah hati?"

"Gembira kepala hotak. Dapat penampar adalah. Siapa suruh kau kembalikan aku masa dia tengah tenat. Dan aku pulak cakap pada dia masa tu, yang aku gembira sangat jumpa dia balik, aku tak sangka akan dapat jumpa dia lagi lepas dia mati. Dia kata aku merepek dan terus tampar aku. Lepas tu dia mati. Membazir je setengah jam aku. Puihh!"

"Alamak, salah targetlah tadi. Aku agak jampi aku ada masalah kot".

"Lantaklah. Kau ni memang dah boleh agak tak berguna langsung. Berambuslah"

Lelaki berjubah hitam pun mahu berlalu. Wajahnya sedih kerana tak berjaya membantu. Sebelum ini pun dia biasa gagal. Kerjanya bukan mudah. Ketika dia mahu turun dari atas bumbung, dia terdengar bunyi sesuatu yang jatuh. Gedebuk!

Rupanya James yang jatuh. Macam-macam hal lah lelaki mabuk ni. Lelaki itu menghampiri James dan mahu membantu tapi dilihatnya James langsung tak bergerak. Dipanggil-panggil, ditampar-tampar pipi James tapi dia tak bangun langsung. Diperiksa dada James. Tak bergerak. Sudah mati rupanya.

James, James. Rupanya umur kau tinggal setahun saja? Tak apalah. Bukankah kau kata sudah bosan dengan hidup kau? Lelaki itu pun berlalu, mahu cari manusia lain yang boleh dibantu. 



Sekeping Nota Kecil Di Dalam Laci

Aku melangkah dengan berhati-hati. Bongkah-bongkah batu besar ku pijak tiap satunya. Sesekali aku terbatuk-batuk bila debu tanpa sengaja memasuki celah kerongkong ku. Sepuluh hari berlalu, baru aku berpeluang kembali ke sini. Ke tempat yang menjadi kebiasaan ku. Tempat yang ku kira syurga di mata ku-dulu.
 
Aku tatap bangunan dua tingkat yang bahagian atasnya telah ranap. Pasu bunga yang menghiasi lamannya sudah pecah, bunganya yang dulu mekar kini telah mati. Aku beranikan diri memasuki tinggalan runtuhan itu. Tiada apa yang mahu ditakutkan. Lagipun nyawa ini liat. Aku sepatutnya sudah mati, sepuluh hari yang lalu tetapi aku terselamat. Takdir.

Dibalik bongkah-bongkah batu, yang sebahagiannya aku tolak ke tepi dengan kudrat yang aku ada, aku ketemukan kenangan lampau. Aku merenung momen-momen dulu yang terpahat lemah di dinding yang berdiri separuh. Ku temukan bingkai gambar, yang sudah pecah. Aku usap, seolah-olah terasa kenangan lampau datang memelukku dari belakang, merintih dengan sayu.

Aku ketepikan kaki bangku yang patah, aku temukan teddy bear kelabu yang comel, yang saiznya muat dalam satu pelukanku. Teddy bear kelabu itu merenungku dengan sayu, tubuhnya terkoyak, kaki dan tangannya patah. Terngiang suara tawa sejurus tubuh si teddy itu ku sentuh.

Mataku menangkap almari hiasan yang tumbang. Bingkai-bingkai gambar yang ku letakkan di atasnya, bersama dengan koleksi kereta mainan yang ku hias, tercampak entah ke mana. Itu semua tak penting. Dengan baki tenaga yang tersisa, dengan hanya sebelah tangan yang boleh di guna, dengan luka-luka yang masih segar di tubuh, aku menolak almari hias itu untuk bangkit. Laci ku buka. Masih ada di situ. Tidak ke mana.

"Sayang,
Maafkan aku. Kalau kita punya hayat yang lain, aku akan mohon untuk lahir sebagai teman mu, tetapi bukan untuk hayat yang ini. Aku perlu pergi pada dia.

- Yang pernah mencintai mu, Alice."

Sebuah nota ringkas yang disemadikan atas sekeping kertas kuning. Yang bertahun dulu ku temukan di atas meja kecil di tepi katil. Lama dulu. Ia tidak ditinggalkan sendiri, ia ditemani sebuah kotak baldu merah berisi cincin, juga sebuah luka yang dalam.

Dan aku kembali ke sisa gempa bumi yang masih ada ini, semata-mata mahu melihat nota kecil itu. Mahu memastikan keadaannya. Dan ku lihat ia baik-baik saja. Ia sepatutnya musnah sepuluh hari yang lalu. Tetapi sama seperti  ku, terselamat. Takdir.



SMS

Kelam-kabut dia memasukan tubuhnya ke perut kereta. Dia mahu cepat tinggalkan kesibukan pejabat ini. Rutin yang sama. Tiap hari. Bosan. Enjin kereta dihidupkan. Aircond kereta dibiarkan terpasang membelai tubuh yang resah bermandi peluh. Tali leher dilonggarkan sedikit.

Masih bersandar di kerusi pemandu. Tiba-tiba telefonnya berbunyi tanda ada sms masuk. Dengan malas dan lambat dia mencapai Iphone 4snya. 


"Betul apa awak cakap semalam. Sebenarnya saya masih belum mahu lupakan dia. Kita sampai sini saja. Maafkan saya".


Perlahan keluhan keluar dari rongga mulutnya. Diletakkan kembali telefonnya itu dan dengan tenang dia mulakan perjalanan. Dia memandu dengan cermat. Walaupun jalan raya sesak petang itu, dia berjaya juga untuk sampai ke apartmentnya, itupun setelah dia menghadapi hon yang bertalu-talu, melanggar semua lampu isyarat, mengasak-asak kereta lain dan mengangkat tangan kepada pemandu lain yang jelas tampak memaki hamunnya walau sepatah pun tak dia dengar.

Tapi ironinya dia masih tersenyum. Mana mungkin lelaki kuat sepertinya menangis seperti anak kecil yang tak mendapatkan gula-gula. Pemuda itu sungguh tenang. Wajah dia seperti tasik yang luas, yang permukaanya tak berombak, yang pabila malam biasan wajah bulan nampak jelas di dada tasik itu. Dia mengambil kembali Iphonenya tadi. Dibukanya kotak inbox. Dan dibacanya lagi. Dihadamnya lagi sebaris ayat itu.

Langsung dia menuju ke dapur. Tanpa berfikir panjang, dicapainya objek itu. Tak teragak, dia menyentuhkan objek itu ke kulit dadanya, ditekan lagi. Tekan lagi sampai dalam. Anehnya dia tak terasa apa. Sakit yang di dalam itu lebih parah. Setakat kulitnya yang berdarah bukan apa-apa. 

Benar tak rasa apa. Objek yang berdiri teguh di dadanya kini cuma ternampak hulunya saja. Sebahagian besar yang lain sudah tertanam, bersama dengan cintanya yang dikambus dalam-dalam. Tubuhnya kian lesu, dia tersandar di depan peti sejuk, dengan tangan kiri memegang dada, tangan kanan erat memeluk telefon.